.TEMPAT-TEMPAT SEJARAH DI KUALA KANGSAR - Istana Iskandariah


ISTANA ISKANDARIAH

Inilah istana rasmi tempat bersemayam Raja-Raja Pemerintah yang ditabalkan sebagai Sultan Perak sejak tahun 1933 dahulu. Pemberian nama istana ini adalah mengambil sempena nama Sultan Iskandar Shah yang bertanggungjawab terhadap pembinaannya dahulu.

Kedudukan tapak Istana Iskandariah ini ialah tapak yang sama sebagaimana Istana Negara yang telah dirobohkan iaitu di atas keindahan Bukit Chandan di tebing kiri mudik Sungai Perak. Dalam tahun 1933, pembinaanya telah siap disempurnakan.

Senibina istana ini jelas memperlihatkan ciri-ciri pengaruh senibina luar negara. Corak senibinanya ada menyerupai senibina Islam India 'Saracenic' yang diadunkan dengan corak senibina Asia Barat. Keadaan ini begitu ketara pada motif gerbang tajam (pointed arch) dan juga hiasan minaret dan kubah yang berbentuk bawang.

Istana ini terletak di atas keluasan tapak tanah berukuran 10,435 meter persegi yang mana muka hadapannya mengadap matahari naik. Istana ini mengandungi tiga tingkat. Di tingkat bawah terdapat dua Dewan Mengadap Dan Ruang Tamu, Dewan Santapan Di Raja, Dewan Negara, Kamar Beristirehat Keluarga Di Raja, Pejabat Juruiring, Kamar Persenangan (Wanita), Dewan Muzik dan Dewan Santapan Di Raja.

Di tingkat pertama terdapat Kamar Tamu Di Raja dan tiga Kamar Peraduan Puteri-puteri Baginda. Manakala tingkat tiga terdapat dua Kamar Peraduan Putera-putera Di Raja dan satu Kamar Peraduan Tetamu Di Raja.

Minaret yang didapati di atas tingkat dua ini terletak di bawah kubah induk. Ruang yang berukuran 9.8 meter x 9.8 meter ini merupakan tempat beristirehat khas untuk keluarga Di Raja sahaja. Diruang ini terdapat pula tangga yang berpusing menghala ke bumbung kubah.

Pada tahun 1984, Istana Iskandariah telah diperbesarkan di bahagian belakang dengan tambahan 11,468 meter persegi. Istana ini juga berbentuk tiga tingkat dan disambung dengan Istana asalnya dengan satu titian bertutup di tingkat pertama.

Bangunan tambahan ini mempunyai bentuk senireka yang sama dengan senireka asal untuk memberi pandangan yang ianya seperti siap dibina dalam satu masa.

Istana tambahan yang berukuran 99 meter panjang dan 38.7 meter lebar adalah berbentuk bujur empat segi dan mengandungi satu kubah besar di tengah dan empat kubah kecil di pepenjurunya.Di tingkat atas terletak Balairong Seri baru manakala Dewan Santapan baru ditempatkan di tingkat tengah dan tingkat bawah (basement) pula digunakan untuk tempat letak kereta-kereta Di Raja.

Hiasan di daun pintu dalam Balairong Seri dan Dewan santapan Di Raja berasaskan sekuntum Bunga Kelumpang. Dari bunga ini keluarlah salur-salur subur bunga dan berbuah lebat seolah-olah merupai tangan terbuka dan melambai-lambai mesra gemalai mempersilakan tetamu dan rakyat masuk mengadap.

Hiasan tiang direka corak memberi pengertian seorang Pemerintah yang menjaga kepentingan amanah dan memohon petunjuk dari tuhan dalam urusan agama bagi dirinya dan rakyat jelata dalam negeri jajahan takluknya. Sementara reka corak Alang Penaga memberi pengertian umum suasana meriah dan gembira di Majlis Di Raja dan seseorang Raja dikelilingi oleh pembesar dan rakyat jelata dalam keadaan aman dan tenteram.