.TEMPAT-TEMPAT SEJARAH DI KUALA KANGSAR - Istana Hulu


ISTANA HULU

Istana Hulu atau disebut Istana Kota Terletak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, iaitu tidak jauh dari Masjid Ubudiah. Istana ini kepunyaan Sultan Idris Murshidul Azam Shah, Sultan Perak ke 28 (1887-1916). Ia mula dibina pada tahun 1889 dan siap pada tahun 1903. Pada tahun 1916, istana ini diduduki oleh Sultan Abdul Jalil, iaitu putera Sultan Idris Murshidul Azam Shah.

Selepas kemangkatan Sultan Abdul Jalil pada tahun 1918, maka istana ini telah diduduki pula oleh putera baginda iaitu Sultan Yussuff Izuddin Shah, Sultan Perak ke 32 (1948-1963).

Dalam tahun 1954, Istana Hulu ini telah dimiliki oleh Kementerian Pelajaran, dan kemudian dalam tahun 1957 bekas istana ini digunakan sebagai sekolah yang dikenali dengan nama Sekolah Kebangsaan Istana Kota. Pada tahun 1970, Sekolah Kebangsaan Istana Kota ditukar nama Sekolah Raja Perempuan Muzwin, iaitu sempena nama DYMM Raja Perempuan Perak iaitu Raja Muzwin binti Raja Ariff.

Pada tahun 1996, Sekolah Kebangsan Perempuan Muzwin telah mendapat bangunan barunya berhampiran Istana Hulu. Bangunan istana yang ditinggalkan ini telah dijadikan Muzium Diraja bagi menggantikan Muzium Diraja Istana Kenangan yang lebih kecil.